Monday, 8 February 2010

PERMAI 2010: Misi memanggil muslim pulang

 

Mungkin ramai yang telah membaca entry Ustaz Hasrizal berkenaan PERMAI 2010.Di sini disertakan entry ustaz berkenaan PERMAI 2010 mengenai pandangan ustaz dan kesimpulan dari pengisian sepanjang PERMAI.Bagi yang sudah baca,boleh hadam sekali lagi dan bagi yang belum,selamat membaca~

******************************************************************************************************************************************************

Alhamdulillah, PERMAI 2010 sudah melabuhkan tirainya.

Saya cuba memberikan yang terbaik. Apatah lagi apabila Tuan Pengarah menyatakan bahawa PERMAI ditangguhkan dari 2009 kepada 2010 semata-mata kerana mahu mengekalkan saya sebagai penceramah. Masuk sahaja Januari 2010, PERMAI berlangsung tidak tertangguh-tangguh lagi.

Lebih 200 orang mahasiswa dan mahasiswi Malaysia dari segenap Kepulauan Indonesia hadir.

Ada yang datang dari Makassar, Sulawesi. Ada juga dari Palembang, Sumatera. Tidak dilupakan rombongan Surabaya, Jogjakarta, Ibu Kota Jakarta dan Inderamayu.  Cuma peserta dari Malang yang di saat-saat akhir terpaksa membatalkan kehadiran mereka disebabkan oleh peperiksaan bertukar jadual di kampus mereka. Demikian juga rombongan Acheh dan Medan yang tidak dapat hadir kerana jadual pengajian yang menyulitkan.

Jumlah terbesar tentu sahaja daripada tuan rumah, Bandung.

Lebih menarik, ada juga rombongan peserta yang datang dari German-Malaysian Institute (GMI). Ia memperlihatkan bagaimana Bandung itu biar pun terletak di Indonesia, namun hakikatnya jarak perjalanan hanya dua jam dengan penerbangan Air Asia.

image

Semenjak awal lagi, saya sudah menjangkakan bahawa cabaran terbesar saya ialah pada mengoptimumkan pengisian dalam keadaan masa yang sangat terhad. Modul yang berasaskan kepada penjenamaan semula kitab Maza’ Ya’ni Intimaa’i lil Islam oleh al-Marhum Syeikh Fathi Yakan, asalnya disampaikan di PUISI 2007 (Ireland) dan Perhimpunan Musim Panas IPIJ 2008 (Jepun). Di kedua-dua acara, program berlangsung selama 4 atau 5 hari, manakala di PERMAI 2010, hanya 3 hari 2 malam sahaja masa diperuntukkan. Itu pun, hanya hari kedua yang benar-benar satu hari penuh, manakala Jumaat dan Ahad, hanya satu slot yang dapat disampaikan.

Ditambah lagi dengan permintaan Jawatankuasa Penganjur agar saya memasukkan perbahasan sejarah untuk menambahkan rencah penyampaian. Ia menggandakan lagi kontradiksi di antara masa dan bahan yang hendak disampaikan.

Justeru saya harus menentukan, apakah orientasi penyampaian yang hendak dilakukan.

Saya memutuskan bahawa, apa yang menjadi keutamaan ialah bagi setiap slot, mesej paling utama yang hendak disampaikan, digarap dengan kemas oleh setiap peserta. Ada pun perinciannya, mereka mempunyai ruang untuk menambah pengetahuan dengan melayari blog Saifulislam.Com memandangkan  hampir kesemua bahan yang disampaikan, sudah dibentangkan dalam bentuk artikel.

image

Menjawab hampir 40 soalan di sepanjang PERMAI 2010 berlangsung

Antara sasaran yang saya letakkan bagi setiap slot, adalah seperti berikut:

ICEBREAKING: Peserta datang dengan persoalan, menyertai dengan soalan dan pulang dengan jawapan. Soalan sangat penting di sepanjang perjalanan PERMAI 2010. Persoalan yang dibiarkan tidak berjawab, apatah lagi persoalan yang dibunuh dengan jawapan yang bersifat indoktrinasi, akan memberanakkan lebih banyak persoalan kritikal yang mengancam Iman dan jati diri sebagai Muslim.

UMMAH SEPINTAS LALU: Survival Ummah di sepanjang sejarah adalah bersangkutan dengan jentera CHALLENGE & RESPONSE. Cabaran sentiasa dihadapi tetapi dengan bentuk yang berubah-ubah. Cabaran itu mesti dikenalpasti, kemudian disusuli dengan tindakbalas, dan tindakbalas itu pula mestilah menepati cabaran yang dihadapi. Bermula daripada mengenalpasti mesej besar perutusan Adam, perlantikan Nuh a.s. sebagai Rasul, Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai penutup sekalian Rasul, anjakan paradigma era umat tanpa wahyu baru di zaman Khulafa’ al-Rasyidin, era Bani Umayyah dan Abbasiyyah, kejatuhan Baghdad 1258M, kebangkitan Uthmaniyyah hingga membawa kepada runtuhnya legasi kepimpinan induk Islam pada tahun 1924.

RANGKA AGAMA: Deen Allah Subhanahu wa Ta’aala mempunyai bentuk yang sangat sistematik untuk mengatur hidup manusia. Rangka agama itu tercabar di era lambakan maklumat semasa hingga gambaran yang kabur tentang Input, Proses dan Output, menimbulkan banyak salah faham, salah tafsir, ketidak imbangan perhatian dan seterusnya menjejaskan fungsi agama pada menjawab cabaran kehidupan.

IMAN (AQIDAH): Bukan hafalan tetapi suatu keyakinan di dalam diri yang membentuk tindakan. Kita adalah apa yang kita percaya. Apa yang dikehendaki daripada internalization (penitipan) Aqidah ialah mencetuskan keupayaan untuk menjayakan segala isi agama sesuai dengan peranan manusia sebagai hamba dan khalifah kepada Allah. Aqidah juga membentuk pandangan hidup (worldview) dan sistem nilai seorang manusia yang kesemua itu menerbitkan perbuatan.

ISLAM (IBADAH): Wasilah manusia berinteraksi dan berhubung dengan Allah. Ketetapan Allah yang berkaitan hubungan manusia dengan Allah disebut sebagai Syariatullah dan ketetapan Allah ke atas alam untuk diatur dan ditadbir oleh manusia pula disebut sebagai Sunnatullah. Mematuhi Syariatullah dan Sunnatullah adalah jalan ibadah seorang Muslim dan tidak tertegak salah satunya tanpa yang satu lagi sebagai pelengkap. Muslim Syariatik dan Saintifik adalah kata kuncinya.

image

IHSAN (AKHLAQ): Objektif paling utama Risalah Islam adalah untuk melahirkan manusia yang mempunyai kualiti dan nilai, iaitu Akhlaq. Manusia boleh melakukan kebaikan dengan dorongan kebiasaan persekitaran atau tuntutan etika kerja. Tetapi Akhlaq adalah kualiti yang terbit daripada apa yang seseorang itu percaya tentang mengapa beliau perlu bertingkah laku sedemikian rupa. Kemerosotan Akhlaq juga menyebabkan tanggungjawab kepimpinan berkrisis apabila suami terhadap isteri, ibu bapa terhadap anak-anak, pemimpin kepada rakyat, mereka memimpin dengan kuasa dan bukan dengan pengaruh. Mereka tiada pengaruh kerana tiada kualiti diri dan memimpin dengan kuasa tanpa pengaruh adalah selemah-lemah kepimpinan.

KELUARGA: Kejayaan yang sebenar bukanlah kejayaan peribadi semata-mata, tetapi pada membawa orang lain berjaya bersama-sama. Rumahtangga adalah dunia mikro yang diberikan oleh Allah kepada manusia sebagai medan pertama sebelum perjuangan mereka di dalam dunia makro. Permulaan yang baik, amat kritikal pada menentukan kelangsungan sebuah institusi keluarga apabila dosa-dosa yang dibiarkan menjadi kebiasaan pada era pra perkahwinan, akan menyediakan musibahnya yang tersendiri di alam rumahtangga, sebelum musibah besar di alam Sana.

MASA DEPAN MILIK ISLAM: Janji Allah dan Rasul yang diyakini, bukan sekadar berpandukan catatan nas, malah potensi yang ada di dalam Islam, pada jalan Syariatullah dan Sunnatullah, adalah blue print kepada kejayaan umat Islam memimpin masa depan. Sultan Muhammad al-Fatih dan penguasaan Constantinople pada tahun 1453 adalah benchmark pencapaian umat di era berkenaan, manakala penguasaan Constantinople kali kedua dan penerimaan Islam oleh Eropah (Rom) bukan pada jalan peperangan, menjadi benchmark untuk generasi berikutnya. Hakikatnya, segala musibah yang berlaku, mesejnya adalah pada memanggil Muslim kembali kepada Islam.

KESIMPULAN: Think big, act small!

Demikianlah rumusan kepada keseluruhan perjalanan PERMAI 2010.

Saya berusaha untuk mengekalkan bentuk penyampaian yang santai, ringkas, berbahasa muda dan beradrineline. Kelucuan sengaja ditimbulkan kerana menikam minda peserta agar menangis semasa mereka sedang sibuk ketawa, mempunyai implikasi yang sangat mendalam pada melabuhkan mesej ke minda dan hati setiap peserta.

image

Ramai peserta yang kedengarannya merungut kerana terasa seperti banyak yang tidak sempat saya sampaikan. Namun demikianlah fitrah sebuah crush course seperti PERMAI 2010. Proses mengisi setiap topik dengan huraian lanjutan mesti berterusan dan Alhamdulillah blog Saifulislam.Com sudah tersedia untuk membantu.

Terima kasih kepada kesemua pihak yang terbabit menganjurkan program kali ini. Tuan Pengarah yang bertungkus lumus bersama jawatankuasanya, tidak dilupakan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan MSD yang turut memberikan sokongan kepada berlangsungnya PERMAI 2010 kali ini.

image

Kru PERMAI 2010. Syabas untuk kalian!

Semoga wacana besar yang menghimpunkan anak Malaysia dari segenap Kepulauan Indonesia ini, dapat diteruskan lagi pada masa-masa akan datang. Ia bukan sahaja medan mencambahkan pengetahuan, tetapi turut menjadi ruang ukhuwwah, pembinaan jaringan persahabatan dan paling utama, menemukan manusia yang menjunjung hasrat yang sama untuk membuat perubahan diri.

Berani bermimpi…

Dan mengejar impian itu!

0 comments:

Post a Comment