Sunday, 6 December 2009

Sabar - adakah bererti hanya mendiamkan diri?


Sifat sabar adalah antara sifat yang perlu ada dalam diri setiap insan.Setiap manusia pasti akan diuji dengan pelbagai ujian dan cubaan dari Allah s.w.t. dan sifat sabarlah yang akan membantu manusia mengharungi setiap ujian dan cabaran yang mendatang.

Buktinya,Allah telah berfirman yang bermaksud: ‘Dan sesungguhnya akan Kami( yakni Allah ) berikan cubaan kepada kamu,dengan sedikit rasa ketakutan,kelaparan,kekurangan harta,jiwa serta hasil tanaman.Dan sebarkanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar’ (Al-Baqarah :155)

Dari pengertian ayat tersebut,jelaslah bahawa Allah sentiasa menurunkan ujian kepada setiap hamba-Nya untuk menguji tahap kesabaran hamba-Nya tetapi adakah sabar itu bererti hanya mendiamkan diri apabila ditimpa ujian???

Sabar itu mempunyai makna yang luas.Menurut kamus dewan edisi ketiga sabar membawa maksud betah menahan penderitaan,kesakitan,kesusahan dan seumpamanya.Dalam erti kata lain seseorang yang sabar itu adalah orang yang pro-aktif.Apabila sesuatu musibah berlaku, seseorang harus bersabar dan lebih pro-aktif untuk menghadapinya dengan penuh hikmah.Sabar juga harus diumpamakan senjata bagi orang mukmin.Hanya orang yang kuat imannya mampu mengawal sifat sabarnya.Justeru,sifat sabar sabar ini harus dibina.

Sabar bukan diam

Walaupun ada yang berpandangan,sabar bererti mendiamkan diri kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan yang sedia ada.Namun,itu tidak bermakna apabila seseorang itu ditimpa musibah,hanya mendiamkan diri sahaja tanpa ada sebarang usaha atau tindakan untuk keluar dari musibah tersebut.Sebaliknya,sabar itu ada hadnya lunas-lunas Islam yang sepatutnya bagi mendapatkan hak pembelaan.

Contohnya,seseorang yang dianiaya ,didera atau hidup dalam kesusahan perlu berusaha,berikhtiar dan tawakkal untuk keluar dari musibah tersebut.Tetapi malangnya ada yang tidak mahu berusaha keluar dari belenggu kesukaran,bahkan lebih menyalahkan takdir.

Inilah fenomena yang sering berlaku dalam masyarakat kita,hanya suka menyalahkan takdir tanpa usaha yang sepatutnya.Orang yang seperti itu tidak memahami hakikat kesabaran

Sabar dan syukur

Dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinaan radhiyallahu ‘anhu,beliau mengatakan “Rasulullah s.a.w perrnah bersabda, ‘Sungguh menakjubkan urusan orang yang beriman,semua urusannya adalah baik.Tidaklah hal itu didapatkan kecuali pada diri seorang mukmin.Maka itu baik baginya.Dan apabila dia tertimpa kesulitan maka dia pun bersabar.Maka itu pun baik baginya’ (HR Muslim)

Syaikh Al ‘Utsaimin menjelaskan manusia dalam menghadapi takdir Allah yang berupa kesenangan dan kesulitan terbahagi kepada dua,iaitu kaum yang beriman dan kaum yang tidak beriman.

Adapun orang yang beriman bagaimanapun keadaannya selalu baik baginya.Apabila dia tertimpa kesukaran maka dia bersabar dan tabah menunggu datangnya jalan keluar dari Allah serta mengharapkan pahala dengan kesabarannya itu.Dengan demikian dia memperoleh pahal orang-orang yang sabar.Maka ini baik baginya.

Sedangkan apabila seorang mukmin menerima nikmat lahir mahupun batin maka dia bersyukur iaitu dengan melaksanakan ketaatan kepada Allah.Kerana syukur bukan sahaja mencakup ucapan syukur di mulut sahaja,akan tetapi harus dilengkapi dengan melaksanakan berbagai ketaatan kepada Allah.

Adapun orang kafir,mereka berada dalam keadaan yang buruk sekali,wal’iyaadzu billaah.Apabila tertimpa kesusahan mereka tidak mahu bersabar,bahkan tidak mahu menerima,memprotes takdir,mendoakan kebinasaan,mencela masa dan caci maki lainnya

Hikmah disebalik musibah

Syaikhul Islam mengatakan ,

‘Datangnya musibah-musibah itu adalah ni’mat kerana ia menjadi sebab dihapuskan dosa-dosa.Sedarkah kita bahawa musibah itulah yang melahirkan sikap kembali taat,merendahkan diri di hadapan Allah ta’ala dan kebergantungan kita kepada Allah,pencipta yang Maha Berkuasa atas segala-galanya?Musibah itu sendiri dijadikan oleh Allah sebagai sebab penghapus dosa dan kesalahan.Maka seluruh musibah pada hakikatnya merupakan rahmat dan ni’mat bagi setiap makhluk,kecuali apabila musibah itu menyebabkan orang yang tertimpa musibah menjadi terjerumus ke dalam kemaksiatan yang lebih besar daripada maksiat yang dilakukannya sebelum tertimpa musibah.Apabila itu yang terjadi maka ia menjadi keburukan baginya,apabila ditilik dari sudut pandang musibah yang menimpa agamanya.

Kesimpulannya,sifat sabar harus di tanam dalam diri kita.Cubalah untuk menjadi orang yang pro-aktif dan bersabar dalam banyak perkara kerana sabar itu menandakan tahap iman kita.Musibah yang diturunkan oleh Allah kepada kita adalah sebagai penghapus dosa kita yang lalu.

Husnuzzon billah(berbaik sangka kepada Allah) adalah sebaik-sebaiknya apabila dilanda ujian kerana Dia yang Maha Mengetahui atas segala-galaNya.semoga kita mampu mempraktikkan sifat sabar dalam kehidupan seharian mengikut landasan yang telah ditetapkan oleh syara’.

source:majalah i (Feb 2009)

0 comments:

Post a Comment