Saturday, 26 December 2009

Qudwah qabla dakwah

Muslim__I__m_Different_by_Haizeel

Qudwah qabla dakwah

Qudwah qabla dakwah bermaksud – menunjukkan contoh sebelum menyeru.

Ramai orang tertanya-tanya, terfikir-fikir kenapa seruan mereka kepada kebaikan tidak memberikan kesan kepada mereka yang diseru. Walaupun dilakukan penyeruan itu dengan penuh kesungguhan.

Jawapannya mudah, kerana dirinya tidak mampu menjadi contoh kepada yang diseru.

Di sini, yang diseru tidak akan merasakan apa-apa. Mereka hanya memandang betapa orang yang menyeru itu, sama sahaja seperti mereka gayanya. Akhlak hodoh juga, tidak kemas juga, mulut mencarut juga, dan sebagainya.

Sebab itu, medan dakwah bukanlah hakikatnya medan berkata-kata semata.

Ia medan menterjemahkan Islam secara syumul(sempurna) di dalam kehidupan.

Merujuk kembali, apakah resepi utama dakwah Rasulullah SAW mampu menarik ramai orang, pastinya kita akan menjumpai satu jawapan yang sama.

Qudwah baginda yang hasanah.

Seni menawan hati

Lain orang, lain cara pendekatannya. Maka, adalah penting bagi seorang da’ie(penyeru) untuk berta’aruf(mendalami) peribadi mad’u(orang yang diseru)nya. Kita perlu bijak menilai apakai jenis pendekatan yang sesuai dengan si fulan, dan si fulan yang lain.

Berdakwah adalah peperangan untuk menawan hati manusia, untuk menyingkir jahiliyyah dari jiwa hamba. Maka berdakwah tidak boleh main bidan terjun sahaja. Perlu ada perancangan yang rapi dan gerak kerja yang sistematik. Perlu ada target, perlu ada kajian, perlu ada pemerhatian. Barulah dakwah yang dijalankan adalah dakwah yang berkesan dan tersebar lalu merebak.

Kadangkala, perlu juga try and error. Tetapi biarlah try and error itu masih berada dalam lingkungan perancangan yang telah disusun selepas membuat satu pemerhatian. Di dalam dakwah, saya tidak rasakan teknik hentam kromo adalah sesuatu yang baik. Hal ini kerana, sekali kita terosakkan kepercayaan mad’u kepada kita, maka kali lain kita ingin mendekatinya semula, sudah ada dinding tinggi lagi tebal yang memisahkan kita dengannya.

Ada orang boleh didekati dengan belanja makan, ada orang pula degan beri hadiah, ada orang dengan merapatinya, ada orang dengan menziarahi rumahnya. Ada pula yang senang apabila kita menjadi bahu menopang masalahnya. Malah, ada juga yang hanya boleh menerima selepas menerima satu tumbukan atau satu tengkingan. Di sini, adalah penting bagi seorang da’ie mempunyai ilmu penilaian baik. Sebab itu, ta’aruf adalah step awal dalam berdakwah.

Yang paling penting, siapa pun kita dekati, cara bagaimana pun kita guna, syakhsiah kita perlulah bersih dan terjaga.

Tamayyuz

Tamayyuz berarti perbezaan. Sebagai seorang penyeru kepada kebaikan, seseorang itu perlu punya tamayyuz dengan orang yang diajaknya. Tamayyuz menutup terus teori – Kalau nak dekati orang hisap rokok, kita kena hisap rokok sama dengan dia.

Kita tidak berdakwah dengan mat rempit dengan cara kita merempit bersama. Jauh sekali berdakwah kepada penzina dengan membelanja dia pelacur. Kita juga tidak pantas mencacakkan rambut kita semata-mata kerana mad’u kita adalah geng punk.

Sebab itu, yang pertama saya utamakan tadi adalah qudwah. Kita sebagai penyeru kebaikan perlu kemas, bersih, berakhlak, sopan dan tegas. Kita ada prinsip kita. Ada ruang toleransi, kita bertoleransi. Tetapi toleransi kita berprinsip. Kita tidak akan bertoleransi sehingga menggadaikan prinsip kita.

Kita kawan dengan perokok, baik, bagus. Tetapi kita tidak merokok apabila dia menghulurkan rokok. Kita rapat dengan kumpulan pelajar bermasalah, baik, bagus. Tetapi kita tidak ikut sama bermasalah macam mereka. Kita berusaha mendekati mereka yang kaki mencarut, baik, bagus. Tetapi kita tidak ikut sama mencarut macam mereka. Geng yang kita dekati adalah kaki lewat solat, tidur terlajak subuh aja kerjanya, baik, bagus. Tetapi kita tidak melewat-lewatkan solat kita, jauh sekali tidur terlajak subuh seangkata degan mereka.

Kita ada perbezaan. Kita ada disiplin, kita ada adab. Pakaian kita kemas, perawakan kita bagus, akhlak kita beradab. Ada masa kita perlu katakan tidak, kita katakan tidak. Kalau perkara itu tidak perlu dibesarkan, kita senyap. Kalau perkara itu perlu ditegur, kita tegur dengan baik. Tidak sekali kita membenarkan yang batil, dan menyertainya.

Dan jangan takut kita akan disisihkan.

Saya percaya, manusia yang punya tamayyuz ini akan lebih dihormati.

Kadangkala, mereka yang punya tamayyuz ini tidak perlu cakap banyak. Perbezaan yang wujud pada diri mereka dengan masyarakat di sekeliling mereka sudah cukup menjadi wasilah(jalan) dakwah mereka.

Jangan putus asa

Satu pantang bagi penyeru kepada kebaikan adalah putus asa. Ini satu garis yang haram dilangkah oleh pembawa kebenaran.

Jika mula perasan tanda-tanda kelemahan di dalam jiwa untuk meneruskan perjuangan di atas jalan ini, perlu segera mendapatkan bantuan dari rakan seangkatan, bermunajat kepada Allah SWT dan berusaha kembali naik.

Allah SWT telah memberikan contoh terbaik kepada kita yakni Nabi Nuh AS yang tidak putus asa dalam berdakwah. 950 tahun ditempuh penuh gigih walaupun yang mengikuti ketika itu hanyalah 83 orang sahaja.

Allah SWT juga telah menunjukkan kepada kita Rasulullah SAW yang gigih menanam risalah Allah SWT dalam jiwa manusia walaupun diseksa, diperangi, dibaling batu dan sebagainya. Iman da Islam yang hari ini kita nikmati, adalah hasil perahan keringat dan aliran darah baginda SAW.

Jika berputus asa, maka sia-sialah apa yang kita bina selama ini.

Berputus asa juga menandakan kelemahan jiwa kita, kekurangan pergantungan kita kepada Allah SWT.

Sedangkan kita perlu yakin, bahawa tugas kita hanya menyampaikan sahaja. Hidayah itu adalah hak milik Allah SWT untuk Dia berikan kepada sesiapa yang Dia sukai.

Copied By Muhammad Hanif from Langit Ilahi posted by Hilal Asyraf

0 comments:

Post a Comment