Thursday, 26 November 2009

Qurban, Pengorbanan dan Taqwa

Qurban-permai

Islam tidak datang dengan mudah

Sejarah kebenaran tidak pernah tertegak dengan kemudahan. Hal ini kerana, lawan kepada kebenaran, yakni kebatilan akan berusaha bermati-matian untuk melihat kebenaran itu tertumbang. Sebab itu, apabila kebenaran sudah tertegak sekalipun, kebatilan akan berusaha mencari ruang untuk menjatuhkan kebenaran.

Islam, yang di dalamnya mempunyai kebenaran ini, tersebar ke seluruh dunia dalam keadaan sentiasa menerima cabaran, tentangan dan halangan dari kebatilan. Sebab itu, kita melihat bahawa Islam itu tiba kepada kita atas jalan yang penuh liku dan dugaan.

Kita hari ini, mendapat Islam yang merupakan kunci syurga kepada kita, adalah dengan memijak tangga-tangga yang dibina dengan batu bata darah pejuang kebenaran masa lalu.

Mereka, telah berkorban menyampaikan Islam kepada kita.

Mereka itu, dan pengorbanan mereka

Siapa mereka? Mereka adalah pembawa-pembawa Islam sebelum kita.

Yang menerima wahyu dari langit, Rasulullah SAW sendiri mengalami pelbagai cabaran dan tribulasi. Baginda yang asalnya merupakan cucu orang kenamaan,berasal dari keluarga yang amat dihormati, mengorbankan status dan segala kemasyhuran hidup datuknya kerana menjunjung kebenaran. Baginda bersabung nyawa, berusaha keras menunjukkan contoh dan menyampaikan Islam.

Baginda dipulau oleh penduduk Makkah selama 3 tahun 3 bulan hingga terpaksa memakan daun kayu sahaja, baginda pernah dicampak dengan perut unta penuh najis di tengkuknya oleh Abu Jahal, entah berapa kali lehernya dicekak dengan kuat oleh pembenci-pembencinya, diburu pula di dalam peristiwa hijrah, hampir sahaja menemui ajal di medan Uhud, dikepung di medan Hunain, dan menghadapi beberapa kali percubaan bunuh oleh musuhnya serta pelbagai lagi mehnah.

Namun baginda tidak kisah akan semua itu. Masa lapang baginda dikorbankan, harta baginda dihabiskan. Diriwayatkan bahawa baginda langsung tidak meninggalkan apa-apa semasa kewafatan baginda. Jangankan masa lapang dan harta, nyawa baginda juga menjadi taruhan. Taruhan untuk Islamnya kita hari ini.

 Begitu juga mereka yang mengikuti Rasulullah SAW.

Abdurrahman bin Auf yang terkenal dengan kekayaannya, meninggalkan seluruh hartanya dari dibawa ke Madinah bagi mengelak Kaum Quraisy Makkah menghalangnya berhijrah. Suhaib Ar-Rumi juga merupakan seorang yang teramat kaya, pergi berhijrah sehelai sepinggang tanpa harta meninggalkan gedungnya yang besar di Makkah.

Uthman bin Affan mendermakan sebilangan hartanya untuk membeli mata air milik Yahudi di Madinah agar tidak berebut dengan orang islam. Belum dikira lagi sumbangannya terhadap ketenteraan Islam pada masa itu. Saidina Umar Al-Khattab menyumbangkan separuh hartanya untuk Islam. Saidina Abu Bakr pula menyumbangkan seluruh hartanya dan meninggalkan keluarganya Allah dan rasul sahaja.

Saidina Ali, ketika peristiwa hijrah sanggup mempertaruhkan dirinya menggantikan Rasulullah SAW di katil baginda, tatkala kaum quraisy mengepung rumah Rasulullah SAW untuk membunuh baginda.

Abu Talhah RA, menjadi dinding penghalang kepada panah-panah musuh di medan Uhud yang hendak menghujani Rasulullah SAW. Dia berdiri di hadapan Rasulullah, menghalang panah-panah dengan tubuhnya.

Bilal bin Rabah bertahan dengan batu besar di atas tubuhnya, di tengah padang pasir panas, dan tidak pula mengikut kata-kata tuannya, Umaiyah bin Khalaf untuk menukar agama. Sumaiyah, mati dalam keadaan disula oleh Abu Jahal kerana mempertahankan Islam. Asma’ binti Abu Bakr dilempang hingga subangnya tercabut apabila Abu Jahal memaksanya untuk memberitahu kedudukan Rasulullah SAW ketika baginda dan Abu Bakr bersembunyi di gua tsur.

Bara’ bin Malik RA memasukkan dirinya ke dalam manjanik, lalu menyuruh kaum muslimin melontarnya ke dalam kota penuh musuh agar dia mampu membuka pintu gerbang dari dalam.

Dan ramai lagi para sahabat yang berkorban habis habisan, bukan hanya masa lapang dan harta, hatta nyawa demi menghantar Islam kepada seluruh alam, agar seluruh alam merasakanm kemaslahatan yang dibawa oleh deen Allah ini. Dan hari ini, atas darah-darah dan harta-harta mereka, Islam itu sampai kepada kita dan kita merasai nikmatnya.

Apakah pengorbanan kita?

Apa pengorbanan kita?

Kadangkala, kita menyumbang duit untuk sebahagian bahagian binatang korban, kita rasa kita dah sumbang terlalu banyak. Kadangkala, kita derma sedikit untuk sekolah agama rakyat, kita rasa kita sudah berjasa besar. Kadangkala, kita derma RM1 di masjid pada Hari Jumaat, kita rasa kita sudah berkorban.

Hakikatnya, kita masih jauh lagi.

Berapa hari sekali kita mengingati Allah SWT? Solat kita pun tunggang langgang.

Jangan kata berkorban harta dan nyawa, masa lapang pun sukar untuk kita korbankan untuk Islam. Apatah lagi keseronokan kita, hawa nafsu kita. Baru diajak meninggalkan couple sudah seperti tercabut separuh nyawa, baru diajak ikut program qiamullail sudah rasa macam diajak pergi berperang. Akhirnya menderma RM1 kita sudah rasa kita berkorban teramat besar.

“Bagus aku ni.” Kita rasa begitu.

Bagaimana kita hari ini? Perasan kah kita, betapa ummah hari ini lemah? Perasan kah kita betapa ummat Islam hari ini rosak? Kenapa?

Kerana hilangnya peribadi-peribadi yang sanggup berkorban.

Jangan kata korban harta, korban dari selimut semasa subuh pun menjadi tanda tanya lagi. Korban masa pergi masjid solat jemaah pun masih sukar. Lagi la korban masa baca buku, mentelaah ilmu, dan sebagainya. Hendak berkorban nyawa mempertahankan Islam? Wassalam…

Apa pengorbanan kita? Kita sebenarnya, hanyalah manusia-mansuia yang terperangkap di dalam zon selesa, merasakan tidak perlunya pengorbanan, kerana kita rasa tiada apa lagi perlu dikorbankan.

Namun kita tidak tahu, pengorbanan saudara-saudara kita di Gaza, mujahidin-mujahidin yang gugur hari demi hari, pembawa harakah Islamiyah yang bergerak diseksa di sana sini itulah yang membuatkan Islam hari ini bergerak dan berkembang sedikit demi sedikit.

Kita? Apa pengorbanan kita? Saya ulang buat sekelian kalinya.

Penutup: Tanpa pengorbanan, takkan ada kemenangan

Allah, tidak menyuruh kita berkorban binatang sia-sia sahaja. Allah tidak makan. Allah tidak perlu sebenarnya binatang-binatang yang kita sembelih. Kalau kita lihat, binatang-binatang itu akhirnya pulang kepada manusia juga, pada yang memerlukan dan akhir sekali kepada kita yang mengorbankan binatang-binatang itu kerana binatang-binatang korban akan menjadi tunggangan kita di akhirat.

Allah sebenarnya, ingin kita menyelami makna pengorbanan.

Binatang berkorban nyawa untuk kita memenuhi ibadah kita.

Apa pengorbanan kita, untuk memenuhi hak-hak Allah dalam kehidupan kita?

Ketahuilah, tanpa pengorbanan, takkan ada kemenangan.

Tak korbankan cinta pada dunia, takkan dapat kemenangan akhirat.

Tak korbankan nafsu serakah, takkan mudah buat kebaikan.

Tak korbankan kepentingan diri, takkan Islam ini bangun dengan kegemilangan.

 

Edited by Muhammad Hanif from Hilal Asyraf

0 comments:

Post a Comment