Saturday, 21 November 2009

ANCAMAN NABI PALSU SUPAYA UMAT ISLAM BERPECAH BELAH

Munculnya orang-orang yang mengaku sebagai nabi merupakan salah satu tanda kiamat kecil sebagaimana peringatan sabda Nabi Muhammad s.a.w yang diriwayat dari Abu Hurairah r.a, “Kiamat belum terjadi sehingga muncul golongan dajjal kecil (penipu kecil) hampir jumlahnya tiga puluh orang, setiap mereka mengaku bahawa dialah utusan Allah.” (Sahih Bukhari, no: 3340, Sahih Sunan Tirmizi, tahqiq Ahmad Syakir, Dar Ihya Turath al- Arabi, 4/498 dan Sahih Sunan Tirmizi, Al-Albani, no:2218)

islam_sword9

Golongan tersebut cukup berbahaya dek kepakaran memutar belit fakta di samping membawa perkhabaran aneh yang belum pernah didengar ketika wahyu masih diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. Nabi-nabi palsu ini bukan setakat muncul di kalangan lelaki, bahkan ada juga dari kalangan wanita. Justeru bukanlah satu perkara pelik apabila ada wanita mengaku sebagai nabi utusan Allah seperti Sujah bintu Harith al-Thaghlabiah, seorang wanita Nasrani keturunan Arab yang mahir silapmata dan seorang tukang tenung. Sedangkan majoriti para Nabi dan Rasul yang diutuskan kepada umat masing-masing adalah golongan lelaki, bersesuaian dengan kudrat mereka menggalas tanggungjawab besar menyampaikan risalah Ilahi. Dalam sebuah hadis sahih menunjukkan 4 wanita yang mengaku sebagai Nabi dari riwayat Huzaifah r.a,

“Akan muncul dari kalangan umatku, 27 orang dajal penipu, 4 daripadanya adalah wanita, sedangkan akulah penutup para nabi, dan tiada nabi lain selepas aku” (Dikeluarkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya, 5/396 no: 23406, Tabrani, Mu’jam Kabir, 3/169 no: 3026, Abu Nuaim dalam Hilyah, 4/179, Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah Ahadith Sahihah, 4/654 no: 1999)

Kemunculan mereka mengundang perpecahan besar umat Islam khususnya dari segi aqidah lebih-lebih lagi apabila sebahagian besar mereka mendusta kebenaran risalah Nabi Muhammad s.a.w. Sejarah Islam menyaksikan berlaku beberapa siri peperangan untuk membendung ancaman golongan dajal ini. Contohnya, pada zaman Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, beliau mengutus tentera dibawah pimpinan Khalid al-Walid menentang pemberontakan Musailamah al-Kazzab yang mendakwa dirinya sebagai nabi utusan Allah Taala dalam Perang Yamamah. Akhirnya Musailamah mati di tangan Wahsyi r.a lalu panji Tauhid kembali seperti sediakala. (lihat lanjut: Imam Tabari, Tarikh Tabari, 3/272, Ibn Athir, al-Kamil fi Tarikh, 2/361 dan Ibn Kathir, Bidayah wa Nihayah, 6/323).

Salah satu ciri utama golongan ini ialah sikap mereka yang suka menyeleweng fakta selain mendustakan risalah wahyu sewenang-wenangnya. Tindakan sebegitu dilakukan demi memenuhi tuntutan kehendak hawa nafsu bahkan kebanyakan karakter nabi palsu ini sebenarnya membenci Islam dengan menyembunyikan niat jahat pada zaman baginda s.a.w. Aksi licik mereka sukar dikesan seperti menukar-nukar penampilan umpama haiwan sesumpah, selain bijak menyesuaikan diri bersama komuniti Islam sejak awal lagi. Kebatilan mereka mula terserlah hanya selepas melantik diri sendiri menjadi nabi atas tauliah logik akal serta menurut hawa nafsu yang dipengaruhi syaitan. Tanpa melalui prosedur biasa lantikan para Nabi dan Rasul oleh Allah Taala menerusi perantaraan malaikat Jibril a.s atau secara terus, tauliah golongan ini cuma bersandar logik akal serta hawa nafsu.

Demi mengejar harta dunia, mereka tidak mengendah autoriti milik Allah Taala yang melantik insan terpilih sebagai utusanNYA. Contoh jelas apabila Musailamah al-Kazzab menyamatarafkan dirinya dengan Rasulullah s.a.w selain menuntut kuasa atas sebahagian sempadan Makkah. Ibn Athir r.h dalam kitabnya, al-Kamil fi al-Tarikh, menyebut isi kandungan surat Musailamah al-Kazzab kepada baginda s.a.w, antaranya ditulis,

“Dari Musailamah, utusan Allah kepada Muhammad utusan Allah, sesungguhnya aku berkongsi dengan engkau dalam perkara sama (iaitu sebagai Nabi Allah), kemudian setiap seorang daripada kita dikurniakan sebahagian tanah (sempadan), begitu juga sebahagian (sempadan) tanah untuk kaum Quraisy, akan tetapi mereka, iaitu kaum Quraisy telah melampaui batas.” (Ibn Athir, al-Kamil fi al-Tarikh, 1/350)

Munculnya seorang nabi palsu di tanahair mengetengahkan misi serupa nabi-nabi palsu sebelumnya iaitu menolak kerasulan Nabi Muhamad s.a.w. Sebelum ditangkap, Rasul Melayu, Haji Kahar Ahmad sempat mengecapi kesenangan dan mengumpul ramai pengikut ketika masih dalam buruan pihak berkuasa. Sejarah baru tanahair mencatat nama Kahar Ahmad sebagai seorang lagi nabi palsu sebagai bahan tatapan generasi akan datang sampai bila-bila.

Kes serupa berlaku pada tahun 1985, apabila kerajaan Sudan membanteras kegiatan nabi palsu, Mahmud Muhamad Taha al-Sudani, yang banyak menyesatkan orang awam menerusi penulisannya. Kerajaan Sudan bertindak menangkap sekaligus menghukumnya disebabkan kufur dan kemurtadannya. (lihat : Dr Umar Sulaiman al-Ashqar, Qiyamah Sughra, 1/128)

Umat Islam akan sentiasa terdedah dengan fitnah nabi palsu sehingga dajal sebenar muncul apabila semakin menghampiri waktu kiamat besar. Bicara mereka dipenuhi kepelikan, karut dan miraj khayalan lebih-lebih dalam bab memutar belit fakta. Matlamat mereka cuma satu, iaitu dapat menyesatkan umat Islam supaya berpecah belah akhirnya.

Karakter mereka mudah dikenali berdasar keterangan dari hadis riwayat Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi s.a.w bersabda,

"Akan muncul menjelang akhir zaman, dajal-dajal kecil (pendusta kecil) membawa kepada kalian khabar-khabar yang tidak pernah didengari bapa-bapa kalian, maka berhati-hatilah kalian terhadap mereka, jangan sampai menyesatkan kalian atau menimbul fitnah (besar) ke atas kalian" (Sahih Muslim, 14/142, no: 5205)

Selama mana umat Islam berpegang teguh pesanan Nabi Muhamad s.a.w dan sunnahnya, selagi itu mereka akan dapat menangkis ancaman fitnah yang cuba menganggu gugat kesatuan umat Islam.

Edited by Muhammad Hanif from Muhd Hilmi Ismail

0 comments:

Post a Comment