Coming Soon…. Permai 2010
PERMAI 2010 akan membuka tirainya tidak lama lagi. PERMAI 2010, singkatan dari Perhimpunan Mahasiswa Islam Malaysia Se-Indonesia 2010 adalah kesinambungan dari PERMAI’08 yang diadakan di Jogjakarta pada tahun 2008. Mungkin ada sahabat-sahabat yang belum tahu atau mungkin kurang jelas dengan kewujudan PERMAI ni. PERMAI merupakan program berbentuk seminar keagamaan dan motivasi yang menghimpunkan mahasiswa-mahasiswa Malaysia dari seluruh pelosok Indonesia. InsyaAllah, PERMAI 2010 Januari ini akan diadakan di Bandung dan mendatangkan wakil-wakil dari Bandung sendiri sebagai tuan rumah, Jakarta, Jogjakarta, Surabaya, Malang, Makassar, Medan, Palembang, Padang, Solo, Indramayu dan ada juga wakil dari Malaysia yang sangat bersemangat untuk ikut serta dalam PERMAI kali ini.
Sejarah PERMAI
Mungkin sahabat-sahabat pernah dengar tentang PUISI di Ireland (Perhimpunan Ukhuwah Insaniyyah Seluruh Ireland), PERISTIWA di Australia (Perhimpunan Remaja Islam dan Tautan Insan Western Australia), IPIJ di Jepun (Ikatan Persaudaraan Islam Jepun) dengan program-programnya atau JASSI di India (Jalinan Sahabat Seluruh India), ISK (Ini Sejarah Kita) anjuran MSM (Majlis Syura Muslimun) dan banyak lagi program-program di luar Negara yang menghimpunkan mahasiswa-mahasiwa Malaysia yang belajar di sana.
Dan di Indonesia, PERMAI merupakan program yang kurang lebih sama dengan program-program tersebut, mungkin sahaja cara dan isinya yang sedikit berbeza, sesuai dengan kondisi mahasiswa di sini. Idea untuk mewujudkan PERMAI dicetuskan oleh saudara Isa Azzaki dan sahabat-sahabat dari Jogja dan juga Bandung dengan harapan dapat mendekatkan mahasiswa-mahasiswa muslim di Indonesia terhadap ilmu agama disamping mengeratkan ukhuwah antara mahasiswa dari berbagai universiti seluruh Indonesia. Sebelum nama PERMAI digunakan, berbagai nama-nama lain telah dicadangkan, antaranya PEMIMPIN, (skemanye..) PERMAIDANI (huhu) dan PUISI (tinggal tukar Ireland ke Indonesia je.hehe)..dan akhirnya nama PERMAI dipilih, singkatan dari Perhimpunan Mahasiswa Islam Malaysia Se-Indonesia (walaupun tak berapa sesuai kat hujung dia).
Permai ‘08
PERMAI’08 yang diadakan di Jogjakarta pada tanggal 23-25 mei 2008 adalah program Islamik pertama yang menghimpunkan pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia. PERMAI’08 dianjurkan oleh UPIMI (Ukhuwah Pelajar Islam Malaysia di Indonesia) dari Jogjakarta dengan kerjasama IMAN (Islamic Malaysian Association) dari Bandung dan PKPMI (Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia). Saudara Isa Azzaki bin Zainal dari Universitas Gadjah Mada (UGM), Jogjakarta merupakan pengarah PERMAI’08 dan dibantu oleh sahabat-sahabat lain dari UGM.
PERMAI’08 diadakan selama 3 hari 2 malam, merangkumi seminar, ceramah motivasi dan ‘games’ dalam beberapa slot berdasarkan modul The 7 Habits of Highly Effective Mukmin yang disampaikan oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, seorang ustaz, motivator dan juga artis (hehe) yang popular di kalangan mahasiswa Malaysia, terkenal dengan slogannya berbunyi “Erti Hidup pada Memberi". ‘Details’ tentang Ustaz Hasrizal telahpun di kupas dalam artikel yang lepas (sila rujuk) atau layari blog beliau, http://www.saifulislam.com. Modul The 7 Habits of Highly Effective Mukmin membicarakan tentang 7 aspek yang harus dimilik oleh seorang mukmin, dan diambil dari buku karangan Stephen Covey bertajuk “The 7 Habits of Highly Effective People”, membincangkan tentang:
1) Be proactive – Principles of personal vision
2) Begins with the end in mind – Principles of personal leadership
3) Put first things first – Principles of personal management
4) Think win/win – Principles of interpersonal leadership
5) Seek first to understand, then to be understood – Principles of empathetic communication
6) Synergize – Principles of creative communication
7) Sharpen the saw – Principles of balanced self-renewal
Alhamdulillah, PERMAI’08 berjaya dilaksanakan dengan lancar dan mendapat sambutan yang baik dari peserta-peserta. Di harapkan ilmu yang diperoleh dapat menggerakkan para peserta daripada TAHU, terus berusaha mencetus MAHU, agar bergerak menuju MAMPU.=) (juga slogan Ustaz Hasrizal)
Maklumat lanjut tentang PERMAI'08 boleh didapati di sini
PERMAI 2010
Kesinambungan dari PERMAI’08, PERMAI 2010 meneruskan jejak langkahnya dan untuk PERMAI kali ini, Bandung diamanahkan untuk menjadi tuan rumah, dan kami masih mengekalkan Ustaz Hasrizal sebagai ‘main speaker’. Mungkin ramai yang tertanya-tanya kenapa tiada PERMAI 2009? Untuk pengetahuan semua, memang rencananya PERMAI berikutnya selepas yang pertama akan diadakan pada tahun ini tapi disebabkan Ustaz Has tak dapat memenuhi jemputan ke luar negara untuk tahun 2009 atas sebab-sebab tertentu, kami memilih untuk menundakan tarikh program ke tahun 2010, dan tidak bercadang menggantikan penceramah yang lain. Diharapkan penundaan dan penantian ini ada hikmahnya, insyaAllah,
Pengarah untuk PERMAI 2010 adalah saudara Ahmad Zulhazwan bin Ahmad Kasim, pelajar perubatan ‘batch’ 2006 (tahun 4) dari Universitas Padjadjaran (UNPAD), Bandung dan dibantu oleh ahli jawatankuasa yang terdiri daripada sahabat-sahabat dari UNPAD. Tema kali ini ialah Islam & Muslim; Dulu, Kini dan Masa Depan dan modulnya berasaskan buku “Apa Ertinya Saya Menganut Islam” karangan Fathi Yakan, membicarakan tentang 6 Perspektif menjadi Muslim yang Efektif, diolah mengikut ‘style’ dan versi ustaz hasrizal. Modul yang sama dipakai untuk PUISI 2007 tapi ditambah dengan sedikit intro tentang sejarah Islam dari awal kebangkitannya hinggalah kejatuhan turki uthmaniyyah, sehingga kini. Untuk pengetahuan sahabat-sahabat, Ustaz Hasrizal merupakan bekas graduan master dalam bidang sejarah Islam dan peluang ini kami ambil untuk mengadakan slot khas membincangkan tentang sejarah Islam dan Muslim. ‘Details’ tentang tema dan modul ini akan dihuraikan lebih lanjut dalam artikel berikutnya insyaAllah =). Berikut merupakan butir lengkap dan padat tentang PERMAI kali ini:
PERMAI 2010 (Bandung)
Tempat: Politeknik Pos Bandung, Indonesia
Tarikh: 22-24 Januari 2010
Penceramah: Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
Tema: Islam dan Muslim; Dulu kini dan Masa depan
Modul: 6 Perspektif Menjadi Muslim yang Efektif
CINTA
Apa yang tiada sering dirisaukan
Nikmat yang dikecap baru kan terasa bila hilang
Apa yang diburu timbul rasa jemu
Bila sudah di dalam genggaman
Diminum hanya menambah haus
Nafsu bagaikan fatamorgana
Di padang pasir
Panas yang membahang disangka air
Dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
Dilihat ada ditangkap hilang
Tuhan.. leraikanlah dunia
Yang mendiam di dalam hatiku
Kerana di situ tidak ku mampu
Mengumpul dua cinta
Hanya cintaMu ku harap tumbuh
Dibajai bangkai dunia yang kubunuh
Sabar - adakah bererti hanya mendiamkan diri?

Sifat sabar adalah antara sifat yang perlu ada dalam diri setiap insan.Setiap manusia pasti akan diuji dengan pelbagai ujian dan cubaan dari Allah s.w.t. dan sifat sabarlah yang akan membantu manusia mengharungi setiap ujian dan cabaran yang mendatang.
Buktinya,Allah telah berfirman yang bermaksud: ‘Dan sesungguhnya akan Kami( yakni Allah ) berikan cubaan kepada kamu,dengan sedikit rasa ketakutan,kelaparan,kekurangan harta,jiwa serta hasil tanaman.Dan sebarkanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar’ (Al-Baqarah :155)
Dari pengertian ayat tersebut,jelaslah bahawa Allah sentiasa menurunkan ujian kepada setiap hamba-Nya untuk menguji tahap kesabaran hamba-Nya tetapi adakah sabar itu bererti hanya mendiamkan diri apabila ditimpa ujian???
Sabar itu mempunyai makna yang luas.Menurut kamus dewan edisi ketiga sabar membawa maksud betah menahan penderitaan,kesakitan,kesusahan dan seumpamanya.Dalam erti kata lain seseorang yang sabar itu adalah orang yang pro-aktif.Apabila sesuatu musibah berlaku, seseorang harus bersabar dan lebih pro-aktif untuk menghadapinya dengan penuh hikmah.Sabar juga harus diumpamakan senjata bagi orang mukmin.Hanya orang yang kuat imannya mampu mengawal sifat sabarnya.Justeru,sifat sabar sabar ini harus dibina.
Sabar bukan diam
Walaupun ada yang berpandangan,sabar bererti mendiamkan diri kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan yang sedia ada.Namun,itu tidak bermakna apabila seseorang itu ditimpa musibah,hanya mendiamkan diri sahaja tanpa ada sebarang usaha atau tindakan untuk keluar dari musibah tersebut.Sebaliknya,sabar itu ada hadnya lunas-lunas Islam yang sepatutnya bagi mendapatkan hak pembelaan.
Contohnya,seseorang yang dianiaya ,didera atau hidup dalam kesusahan perlu berusaha,berikhtiar dan tawakkal untuk keluar dari musibah tersebut.Tetapi malangnya ada yang tidak mahu berusaha keluar dari belenggu kesukaran,bahkan lebih menyalahkan takdir.
Inilah fenomena yang sering berlaku dalam masyarakat kita,hanya suka menyalahkan takdir tanpa usaha yang sepatutnya.Orang yang seperti itu tidak memahami hakikat kesabaran
Sabar dan syukur
Dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinaan radhiyallahu ‘anhu,beliau mengatakan “Rasulullah s.a.w perrnah bersabda, ‘Sungguh menakjubkan urusan orang yang beriman,semua urusannya adalah baik.Tidaklah hal itu didapatkan kecuali pada diri seorang mukmin.Maka itu baik baginya.Dan apabila dia tertimpa kesulitan maka dia pun bersabar.Maka itu pun baik baginya’ (HR Muslim)
Syaikh Al ‘Utsaimin menjelaskan manusia dalam menghadapi takdir Allah yang berupa kesenangan dan kesulitan terbahagi kepada dua,iaitu kaum yang beriman dan kaum yang tidak beriman.
Adapun orang yang beriman bagaimanapun keadaannya selalu baik baginya.Apabila dia tertimpa kesukaran maka dia bersabar dan tabah menunggu datangnya jalan keluar dari Allah serta mengharapkan pahala dengan kesabarannya itu.Dengan demikian dia memperoleh pahal orang-orang yang sabar.Maka ini baik baginya.
Sedangkan apabila seorang mukmin menerima nikmat lahir mahupun batin maka dia bersyukur iaitu dengan melaksanakan ketaatan kepada Allah.Kerana syukur bukan sahaja mencakup ucapan syukur di mulut sahaja,akan tetapi harus dilengkapi dengan melaksanakan berbagai ketaatan kepada Allah.
Adapun orang kafir,mereka berada dalam keadaan yang buruk sekali,wal’iyaadzu billaah.Apabila tertimpa kesusahan mereka tidak mahu bersabar,bahkan tidak mahu menerima,memprotes takdir,mendoakan kebinasaan,mencela masa dan caci maki lainnya
Hikmah disebalik musibah
Syaikhul Islam mengatakan ,
‘Datangnya musibah-musibah itu adalah ni’mat kerana ia menjadi sebab dihapuskan dosa-dosa.Sedarkah kita bahawa musibah itulah yang melahirkan sikap kembali taat,merendahkan diri di hadapan Allah ta’ala dan kebergantungan kita kepada Allah,pencipta yang Maha Berkuasa atas segala-galanya?Musibah itu sendiri dijadikan oleh Allah sebagai sebab penghapus dosa dan kesalahan.Maka seluruh musibah pada hakikatnya merupakan rahmat dan ni’mat bagi setiap makhluk,kecuali apabila musibah itu menyebabkan orang yang tertimpa musibah menjadi terjerumus ke dalam kemaksiatan yang lebih besar daripada maksiat yang dilakukannya sebelum tertimpa musibah.Apabila itu yang terjadi maka ia menjadi keburukan baginya,apabila ditilik dari sudut pandang musibah yang menimpa agamanya.
Kesimpulannya,sifat sabar harus di tanam dalam diri kita.Cubalah untuk menjadi orang yang pro-aktif dan bersabar dalam banyak perkara kerana sabar itu menandakan tahap iman kita.Musibah yang diturunkan oleh Allah kepada kita adalah sebagai penghapus dosa kita yang lalu.
Husnuzzon billah(berbaik sangka kepada Allah) adalah sebaik-sebaiknya apabila dilanda ujian kerana Dia yang Maha Mengetahui atas segala-galaNya.semoga kita mampu mempraktikkan sifat sabar dalam kehidupan seharian mengikut landasan yang telah ditetapkan oleh syara’.
source:majalah i (Feb 2009)
syaitan dan manusia

Sesungguhnya,
manusia takkan terlepas dari godaan syaitan,
maka kita haruslah sentiasa memohon perlindungan dari Allah
agar hati kita tidak dipesongkan
dan dengan mudahnya masuk ke dalam perangkap tersebut..
ingatlah,
sebaik-baik manusia..
adalah yang melakukan kesalahan,
lalu segera bertaubat..
dan berputus asa itu,
bukanlah salah satu dari sifat seorang muslim..
*************************************************************************
"Allah sayang kepada hambaNya yang berhenti sejenak
ketika hendak melakukan sesuatu perbuatan..
lalu, jika perbuatan itudikerjakan untuk Allah..
ia akan meneruskannya..
dan jika sesuatu yang dikerjakan itu bukan untuk Allah,
ia akan menghentikan perbuatan tersebut"
-Hassan Al-Basri-
Qurban, Pengorbanan dan Taqwa
Islam tidak datang dengan mudah
Sejarah kebenaran tidak pernah tertegak dengan kemudahan. Hal ini kerana, lawan kepada kebenaran, yakni kebatilan akan berusaha bermati-matian untuk melihat kebenaran itu tertumbang. Sebab itu, apabila kebenaran sudah tertegak sekalipun, kebatilan akan berusaha mencari ruang untuk menjatuhkan kebenaran.
Islam, yang di dalamnya mempunyai kebenaran ini, tersebar ke seluruh dunia dalam keadaan sentiasa menerima cabaran, tentangan dan halangan dari kebatilan. Sebab itu, kita melihat bahawa Islam itu tiba kepada kita atas jalan yang penuh liku dan dugaan.
Kita hari ini, mendapat Islam yang merupakan kunci syurga kepada kita, adalah dengan memijak tangga-tangga yang dibina dengan batu bata darah pejuang kebenaran masa lalu.
Mereka, telah berkorban menyampaikan Islam kepada kita.
Mereka itu, dan pengorbanan mereka
Siapa mereka? Mereka adalah pembawa-pembawa Islam sebelum kita.
Yang menerima wahyu dari langit, Rasulullah SAW sendiri mengalami pelbagai cabaran dan tribulasi. Baginda yang asalnya merupakan cucu orang kenamaan,berasal dari keluarga yang amat dihormati, mengorbankan status dan segala kemasyhuran hidup datuknya kerana menjunjung kebenaran. Baginda bersabung nyawa, berusaha keras menunjukkan contoh dan menyampaikan Islam.
Baginda dipulau oleh penduduk Makkah selama 3 tahun 3 bulan hingga terpaksa memakan daun kayu sahaja, baginda pernah dicampak dengan perut unta penuh najis di tengkuknya oleh Abu Jahal, entah berapa kali lehernya dicekak dengan kuat oleh pembenci-pembencinya, diburu pula di dalam peristiwa hijrah, hampir sahaja menemui ajal di medan Uhud, dikepung di medan Hunain, dan menghadapi beberapa kali percubaan bunuh oleh musuhnya serta pelbagai lagi mehnah.
Namun baginda tidak kisah akan semua itu. Masa lapang baginda dikorbankan, harta baginda dihabiskan. Diriwayatkan bahawa baginda langsung tidak meninggalkan apa-apa semasa kewafatan baginda. Jangankan masa lapang dan harta, nyawa baginda juga menjadi taruhan. Taruhan untuk Islamnya kita hari ini.
Begitu juga mereka yang mengikuti Rasulullah SAW.
Abdurrahman bin Auf yang terkenal dengan kekayaannya, meninggalkan seluruh hartanya dari dibawa ke Madinah bagi mengelak Kaum Quraisy Makkah menghalangnya berhijrah. Suhaib Ar-Rumi juga merupakan seorang yang teramat kaya, pergi berhijrah sehelai sepinggang tanpa harta meninggalkan gedungnya yang besar di Makkah.
Uthman bin Affan mendermakan sebilangan hartanya untuk membeli mata air milik Yahudi di Madinah agar tidak berebut dengan orang islam. Belum dikira lagi sumbangannya terhadap ketenteraan Islam pada masa itu. Saidina Umar Al-Khattab menyumbangkan separuh hartanya untuk Islam. Saidina Abu Bakr pula menyumbangkan seluruh hartanya dan meninggalkan keluarganya Allah dan rasul sahaja.
Saidina Ali, ketika peristiwa hijrah sanggup mempertaruhkan dirinya menggantikan Rasulullah SAW di katil baginda, tatkala kaum quraisy mengepung rumah Rasulullah SAW untuk membunuh baginda.
Abu Talhah RA, menjadi dinding penghalang kepada panah-panah musuh di medan Uhud yang hendak menghujani Rasulullah SAW. Dia berdiri di hadapan Rasulullah, menghalang panah-panah dengan tubuhnya.
Bilal bin Rabah bertahan dengan batu besar di atas tubuhnya, di tengah padang pasir panas, dan tidak pula mengikut kata-kata tuannya, Umaiyah bin Khalaf untuk menukar agama. Sumaiyah, mati dalam keadaan disula oleh Abu Jahal kerana mempertahankan Islam. Asma’ binti Abu Bakr dilempang hingga subangnya tercabut apabila Abu Jahal memaksanya untuk memberitahu kedudukan Rasulullah SAW ketika baginda dan Abu Bakr bersembunyi di gua tsur.
Bara’ bin Malik RA memasukkan dirinya ke dalam manjanik, lalu menyuruh kaum muslimin melontarnya ke dalam kota penuh musuh agar dia mampu membuka pintu gerbang dari dalam.
Dan ramai lagi para sahabat yang berkorban habis habisan, bukan hanya masa lapang dan harta, hatta nyawa demi menghantar Islam kepada seluruh alam, agar seluruh alam merasakanm kemaslahatan yang dibawa oleh deen Allah ini. Dan hari ini, atas darah-darah dan harta-harta mereka, Islam itu sampai kepada kita dan kita merasai nikmatnya.
Apakah pengorbanan kita?
Apa pengorbanan kita?
Kadangkala, kita menyumbang duit untuk sebahagian bahagian binatang korban, kita rasa kita dah sumbang terlalu banyak. Kadangkala, kita derma sedikit untuk sekolah agama rakyat, kita rasa kita sudah berjasa besar. Kadangkala, kita derma RM1 di masjid pada Hari Jumaat, kita rasa kita sudah berkorban.
Hakikatnya, kita masih jauh lagi.
Berapa hari sekali kita mengingati Allah SWT? Solat kita pun tunggang langgang.
Jangan kata berkorban harta dan nyawa, masa lapang pun sukar untuk kita korbankan untuk Islam. Apatah lagi keseronokan kita, hawa nafsu kita. Baru diajak meninggalkan couple sudah seperti tercabut separuh nyawa, baru diajak ikut program qiamullail sudah rasa macam diajak pergi berperang. Akhirnya menderma RM1 kita sudah rasa kita berkorban teramat besar.
“Bagus aku ni.” Kita rasa begitu.
Bagaimana kita hari ini? Perasan kah kita, betapa ummah hari ini lemah? Perasan kah kita betapa ummat Islam hari ini rosak? Kenapa?
Kerana hilangnya peribadi-peribadi yang sanggup berkorban.
Jangan kata korban harta, korban dari selimut semasa subuh pun menjadi tanda tanya lagi. Korban masa pergi masjid solat jemaah pun masih sukar. Lagi la korban masa baca buku, mentelaah ilmu, dan sebagainya. Hendak berkorban nyawa mempertahankan Islam? Wassalam…
Apa pengorbanan kita? Kita sebenarnya, hanyalah manusia-mansuia yang terperangkap di dalam zon selesa, merasakan tidak perlunya pengorbanan, kerana kita rasa tiada apa lagi perlu dikorbankan.
Namun kita tidak tahu, pengorbanan saudara-saudara kita di Gaza, mujahidin-mujahidin yang gugur hari demi hari, pembawa harakah Islamiyah yang bergerak diseksa di sana sini itulah yang membuatkan Islam hari ini bergerak dan berkembang sedikit demi sedikit.
Kita? Apa pengorbanan kita? Saya ulang buat sekelian kalinya.
Penutup: Tanpa pengorbanan, takkan ada kemenangan
Allah, tidak menyuruh kita berkorban binatang sia-sia sahaja. Allah tidak makan. Allah tidak perlu sebenarnya binatang-binatang yang kita sembelih. Kalau kita lihat, binatang-binatang itu akhirnya pulang kepada manusia juga, pada yang memerlukan dan akhir sekali kepada kita yang mengorbankan binatang-binatang itu kerana binatang-binatang korban akan menjadi tunggangan kita di akhirat.
Allah sebenarnya, ingin kita menyelami makna pengorbanan.
Binatang berkorban nyawa untuk kita memenuhi ibadah kita.
Apa pengorbanan kita, untuk memenuhi hak-hak Allah dalam kehidupan kita?
Ketahuilah, tanpa pengorbanan, takkan ada kemenangan.
Tak korbankan cinta pada dunia, takkan dapat kemenangan akhirat.
Tak korbankan nafsu serakah, takkan mudah buat kebaikan.
Tak korbankan kepentingan diri, takkan Islam ini bangun dengan kegemilangan.
Edited by Muhammad Hanif from Hilal Asyraf
Inilah Jalan Yang Lurus
Pagi tadi, petang semalam, tengah hari ini, malah malam nanti juga, pastinya kita tidak putus-putus tanpa jemu meminta agar dikurniakan jalan yang lurus.
Ya, semuanya kita ungkapkan menerusi bacaan al-Fatihah dalam solat lima waktu yang dilakukan sehari semalam.
Permohonan yang telah kita ajukan entah berapa ratus bahkan beribu-ribu kali kepada Allah s.w.t. Bayangkan, jika kita kini berusia 40 tahun dan mula mengerjakan solat sejak akil baligh (sekitar usia 15 tahun), bermakna kita telah memohon jalan yang lurus sejumlah 155,125 kali!
Apakah status permohonan kita itu? Adakah Allah mensia-siakan permohonan yang diajukan sebanyak dan sekerap itu? Atau adakah kita yang mensia-siakan jawapan yang telah diberikan Allah?
Namun yang pasti, Allah tidak akan mensia-siakan doa hamba-Nya berdasarkan firman-Nya yang bermaksud: “Berdoalah nescaya akan Aku memperkenankan.” (Surah Ghafir: 60)
Pengalaman kita, jika ada seseorang yang meminta kita sesuatu berulang-ulang kali, akan jatuh kasihan juga dan ini mendorong kita untuk menunaikan permintaannya. Inikan pula Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Pemberi, pasti Dia akan mengabulkan permintaan hamba-Nya. Oleh sebab itu jelas sekali kitalah yang telah mensia-siakan jawapan (kurniaan) Allah itu.
Dalam hubungan sesama manusia kita biasa dengan ungkapan, “When you ask, listen!” Maksudnya bila kita meminta suatu pandangan, nasihat atau tunjuk ajar, maka dengarlah jawapannya, yakni pandangan atau nasihat yang kita minta itu. Jadi amat tidak wajar kita hanya sering meminta nasihat, namun apabila telah diberikan, kita mensia-siakan atau tidak mendengarnya.
Begitulah dalam hubungan dengan Allah, kerap berlaku situasi sedemikian. Kita sering meminta kepada-Nya dalam doa dan solat kita, tetapi apabila telah ditunjukkan, kita sendiri yang tuli dan mensia-siakannya.
Inilah yang berlaku apabila kita memohon ditunjuki jalan yang lurus. Jawapan dari Allah tidak kita dengari. Jalan yang ditunjukkan-Nya tidak kita ikuti. Teladan yang ditetapkan kita pinggirkan. Mengapa ini terjadi?
Peminta yang ego
Semuanya ini berpunca daripada sifat keakuan (keegoan). Hanya mulut yang meminta, tetapi hati tidak begitu. Hakikatnya apabila kita meminta sesuatu dari suatu pihak lain, ertinya kita dalam kekurangan; manakala pihak yang lain itu yang punyai kelebihan. Kita lemah, pihak yang kita pinta itu yang kuat. Itulah rasa sewajarnya yang harus ada dalam hati para peminta (hamba) berbanding dengan Pemberi (Allah). Kita sebagai peminjam, dan Allah sebagai pemilik segala-gala yang kita inginkan.
Luntur dan leburkanlah keegoan kita dengan merasa bahawa dunia ini bukan milik kita. Allah menegaskan hakikat itu menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Kepunyaan Allahlah segala apa yang ada di langit dan di bumi.” (Surah al-Baqarah 2: 284)
Ayat ini menegaskan bahawa pemilik dan pen¬cipta dunia dan segala isinya adalah Allah. Apakah implikasi daripada ayat ini?
Implikasinya, oleh sebab Allah pemilik dunia ini maka Dia sahaja berhak untuk mengaturnya. Hanya kaedah Allah sahaja yang wajar dan mampu menjamin keselamatan dan kesejahteraan dunia. Dalam erti kata yang lain, Allah sahaja berhak membuat “jalan”. Cuma jalan di sini bukan bermaksud road (jalan) tetapi way (cara atau kaedah).
Justeru, jangan ada yang mendabik dada dengan berkata, “I’ll do it my way (saya akan lakukannya dengan mengikut jalan saya).”
Metafora wang 50 sen
Jika itu hakikatnya, lalu apakah peranan kita sebagai manusia yang hidup di atas muka bumi ini? Kita tidak berhak membuat jalan (kaedah atau jalan hidup) sendiri. Kita hanya dituntut untuk mengikuti jalan yang telah ditentukan-Nya.
Metaforanya begini: Katalah anak kita menemui wang 50 sen di tepi jalan. Dia bertanya kepada kita sebagai ibu bapanya, “Bolehkah saya belanjakan duit ini?”
Sudah tentu sebagai ibu bapanya, anda bertegas menjawab, “Tidak boleh.” Ini jawapan fitrah.
Anak anda mungkin bertanya lagi, “Kenapa tidak boleh? Bukankah saya yang menjumpainya?”
Dan anda akan menjawab, “Ya, walaupun kamu yang menjumpainya tetapi duit itu bukan hak kamu. Atas dasar itu kamu tidak berhak menggunakannya!”
Ya, begitulah manusia. Apabila manusia lahir saja ke dunia, segala-galanya telah sedia ada. Bumi, lautan, haiwan dan tumbuh-tumbuhan, bukit, gunung, sungai dan segala isi dan hasil mahsulnya. Semua ini bukan manusia yang menciptanya. Semua ini hak Pencipta, yakni Allah s.w.t. Justeru,
kita tidak berhak mengatur dunia ini sesuka hati kita. Kita bukan pembuat dan penciptanya. Seperti anak dalam metafora tadi, maka begitulah manusia, tidak berhak mengatur dunia ini mengikut jalannya; seperti mana anak tadi tidak berhak membelanjakan duit 50 sen yang bukan miliknya!
Tetamu yang tidak beradab
Manusia hanya umpama “tetamu senja” yang hadir di dunia ini dalam tempuh masa tertentu. Sampai masanya dia akan “pulang” ke tempat asalnya, yakni berpindah ke alam lain, selepas kematian.
Bagaimana perasaan anda sekiranya seorang tetamu yang datang bertandang ke rumah anda, dan dia berbuat sesuka hatinya? Umpamanya, mengalih atau merubah susunan perabot, mengguna perlatan rumah anda tanpa izin dan sebagainya. Tentu anda marah bukan? Begitulah ibaratnya kita yang lahir ke dunia ini. Kita bertandang sebentar saja. Sebagai “tetamu”. Kita tidak wajar membuat jalan hidup sendiri. Tetamu perlu beradab dengan tuan rumah; begitu jua, manusia perlu “beradab” dengan Tuan punya dunia ini.
Jadi, apa tugas kita di dunia ini? Allah menegaskan¬nya dengan jelas menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” (Surah al-Baqarah: 30)
Inilah status manusia. Kita hanya sebagai khalifah atau “wakil” untuk mentadbir dan menguruskan bumi. Sebagai wakil, manusia tidak berhak membuat jalan, tetapi manusia hanya mengurus dan mentadbir bumi mengikut jalan yang telah disediakan oleh Pemiliknya (Allah).
Khalifah di muka bumi
Sebagai khalifah kita diberi kuasa tertentu. Dengan kuasa inilah seluruh makhluk “akur” untuk diurus tadbir oleh manusia.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan dipermudahkan bagi kamu segala yang ada di langit dan di muka bumi, yang demikian itu adalah bukti bagi kaum yang berfikir.” (Surah al-Jasyiah 45: 13)
Kuasa yang paling ampuh diberikan kepada manusia ialah akal fikiran. Dengan akal, manusia mampu menguasai ilmu dan dengan ilmu itu manusia berupaya “menundukkan” makhluk yang lain. Dengan sains dan teknologi misalnya, gunung yang tinggi dapat didaki, bukit dapat diratakan, sungai mampu diempang, haiwan dan tumbuh-tumbuhan dapat dimanfaatkan dan dikembang-biakkan.
Namun, sehebat mana pun akal manusia berfikir, ia tidak boleh digunakan untuk mencipta jalan lain. Dia hanya berperanan untuk mengikut jalan yang telah disediakan Allah. Jadi, sebagai wakil (khalifah), manusia tidak berhak melaksanakan kaedah lain melainkan mengikut kaedah yang ditentukan oleh pihak yang melantiknya sebagai khalifah iaitu Allah.
Jalan sama pentingnya dengan tujuan
Setiap orang yang hendak mencapai tujuan hidupnya yang betul, perlu melalui jalan yang betul. Sebaliknya jika jalannya tidak betul maka kita tidak akan sampai kepada tujuan tersebut.
Katalah kita hendak ke utara, tetapi jalan yang kita pilih ke selatan, pasti kita tidak akan sampai di utara walau besar mana sekalipun keinginan kita untuk menuju ke situ. Justeru, dalam Islam tujuan dan jalan hidup yang tepat sama pentingnya untuk membawa kita ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan.
Maha suci Allah, Dia telah menetapkan jalan untuk melaksanakan misi tersebut. Andainya manusia menafikan salah satu atau kedua-dua perkara yang telah ditetapkan Allah itu akan membawa kita kepada kekeliruan yang dahsyat.
Kekeliruan itu telah digambarkan dengan jelas oleh seorang penyair Ilia Abu Mahdi dalam syairnya, Al-Thalasim:
Alam ini apa?
Manusia ini siapa?
Dari mana aku datang?
Hidup ini apa?
Kematian itu apa?
Bagaimana keadaan akan datang?
Adakah lagi ‘hidup’ selepas hidup ini?
Aku datang, aku tidak tahu dari mana?
…tapi aku datang jua
Aku menempuh JALAN terbentang di depanku
…Lalu aku berjalan
Akan selamanyakah aku berjalan
Sekalipun aku mahu atau tidak mahu…
Bagaimana caranya aku datang?
Bagaimana aku dapat menempuh JALAN?
Aku tidak tahu!
Akukah yang mengendalikan diriku dalam hidup ini
Atau aku dikendalikan?
Justeru, antara perkara yang paling penting (malah Allah wajibkan kita) adalah meminta jalan yang lurus. Sekurang-kurangnya 17 kali dalam solat 5 waktu kita diwajibkan meminta: “Ihdina sirathal mustaqim” (tunjukkan kami jalan yang lurus).
Walaupun berdoa itu sendiri pada hukum asalnya sunat, tetapi berdoa minta ditunjukkan jalan yang lurus sudah dihukumkan wajib.
Selain itu, sekurang-kurangnya ada terdapat 72 ayat yang mencantumkan kata jalan yang lurus disebut dalam al-Quran. Menurut ahli tafsir, apabila sesuatu perkara disebut berulang-ulang kali, menunjukkan betapa pentingnya perkara itu – dalam konteks ini jalan yang lurus.
Siapakah yang akan melaluinya?
Siapakah teladan kita dalam melalui jalan yang lurus ini?
Persoalan ini juga penting kerana jika kita hanya mengetahui jalannya, tetapi tidak mempunyai petunjuk yang boleh membimbing, mendidik dan memimpin kita di jalan tersebut maka kita juga akan tersasar.
Sebagai perbandingannya, lihatlah betapa ramainya orang yang “tersesat” dalam perjalanan mereka untuk mencari suatu tempat walaupun mereka sudah dilengkapi peta atau buku panduan jalan ke arah itu.
Bayangkan, kalau jalan di dunia boleh tersesat walaupun jalannya masih boleh dilihat dengan mata malah sudah disuratkan dengan peta…bagaimana pula dengan jalan hidup? Justeru, mencari jalan hidup memerlukan lebih daripada itu. Bukan sekadar peta atau panduan, tetapi juga petunjuk dan teladan. Surah al-Fatihah memberi jawapan bahawa teladan di jalan lurus itu ialah orang yang telah diberi nikmat oleh Allah, bukan orang yang dimurkai dan bukan pula orang yang sesat.
Tegasnya, Allah menjelaskan pada ayat 6-7 Surah al-Fatihah bahawa teladan di jalan yang lurus itu ialah:
Orang yang telah diberi nikmat.
Bukan jalan orang dimurkai Allah.
Bukan jalan orang yang sesat.
Orang yang diberi nikmat
Golongan yang diberi nikmat ialah para nabi, orang yang benar (siddiqin), orang yang mati syahid (syuhada) dan orang soleh (solihin). Inilah role model untuk memperoleh jalan yang lurus. Maksudnya, kita tidak akan dapat melaksanakan ibadah kepada Allah, melaksanakan Islam, menegakkan al-Quran dan Sunah, tanpa mencontohi empat golongan ini.
Kita wajib mengikut kaedah mereka dalam menegakkan akidah, syariat dan akhlak dalam kehidupan. Kaedah mereka sewajarnya kita jadikan prinsip dan pegangan hidup, dalam pelaksanaan semua sistem hidup; ekonomi, pendidikan, pentadbiran, politik, budaya, sosial, kebudayaan dan lain-lain.
Kita wajib mengikut cara mereka berpakaian (menutup aurat), berekonomi (meninggalkan riba), mendidik anak dan masyarakat (meletakkan tauhid sebagai asas dan teras), bersosial (meninggalkan pergaulan bebas), berpolitik (adil dan tidak rasuah) dan lain-lain.
Hanya dengan mengikut teladan daripada mereka secara menyeluruh, barulah Islam akan tertegak sebagai satu jalan (cara) hidup – Islam is the way of life! Untuk itu kita wajib belajar, memahami, menghayati, mengamalkan serta memperjuangkan jalan lurus yang pernah ditunjuki oleh golongan yang diberi nikmat ini. Nikmat yang dimaksudkan di sini ialah nikmat dunia (hasanah fi dunia) – keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran di sudut spiritual, mental, emosi, dan fizikal. Manakala nikmat di akhirat (hasanah fi akhirat) ialah keredaan Allah dan syurga.
Sejarah hidup dan perjuangan mereka mesti dikaji, difahami dan diikut tanpa ragu-ragu. Jika tidak, dikhuatiri kita secara automatik akan termasuk dalam golongan orang yang dimurkai dan sesat. Hal ini kerana Rasulullah s.a.w. sendiri menegaskan bahawa selain al-Quran, anak-anak juga wajib diajarkan tentang sirah Nabi-Nabi sejak di awal usia lagi.
Orang yang dimurkai Allah
Rasulullah s.a.w. telah menjelaskan maksud orang yang dimurkai ialah Yahudi. Orang Yahudi sama ada di sudut kepercayaan (agama) mereka ataupun cara hidup mereka dimurkai Allah, maka umat Islam tidak boleh mengikut mereka. Rasulullah s.a.w. sangat tegas dengan prinsip dan tidak bertolak ansur dengan golongan Yahudi ini bukan sahaja dari sudut perkara-perkara yang besar tetapi juga dalam hal-hal yang dianggap remeh oleh manusia hari ini.
Malangnya, umat Islam hari ini terjebak dengan cara (jalan) hidup Yahudi dalam kebanyakan bidang kehidupan. Hollywood (yang didalangi oleh Yahudi) telah mempelopori dan mewarnai cara hidup kebanyakan remaja Islam. Cara hidup para selebriti Barat yakni cara mereka berpakaian, berhibur, makan-minum, berkomunikasi, bergaul dianggap “standard” dan “trendy” hingga menjadi suri teladan masyarakat Islam.
Cubalah bermuhasabah sejujur-jujurnya, berapa banyak kisah para sahabat yang diketahui oleh anak-anak kita berbanding kisah artis? Berapa banyak lembar al-Quran yang mereka baca berbanding majalah-majalah hiburan dalam sehari? Siapa ikon dalam hidup mereka sekarang? Ahli sukan? Pelakon? Penyanyi? Pelawak? Tidak pelik, jika kini “jalan orang yang diberi nikmat” dianggap sengsara dan lekeh berbanding “jalan orang yang dimurkai” yang dinobatkan sebagai hebat dan dikagumi.
Di bidang ekonomi pula, kuasa pasaran bebas didominasi oleh Yahudi. Spekulator pasaran kewangan mereka (antaranya George Soros) adalah biang di sebalik kejatuhan mata wang Malaysia suatu ketika dulu (yang hingga kini masih terasa impaknya). Yahudi juga berperanan di sebalik tabir kuasa setiap presiden Amerika. Tegasnya, geopolitik dan ekonomi dunia masih “berkiblatkan” mereka dan majoriti umat Islam terheret sekali dalam jalan yang dimurkai itu!
Umat Islam hakikatnya masih belum merdeka sepenuhnya daripada penjajahan pemikiran dan jiwa oleh golongan Yahudi hingga dengan itu cara (jalan) hidup kita masih berada di jalan yang dimurkai.
Ironinya, inilah impak cara hidup Yahudi yang telah berakar umbi dalam diri umat yang memohon jalan yang lurus sebanyak tidak kurang 17 kali sehari semalam. Kita minta yang benar, tetapi kita dengar yang salah. Are we listen to what we asked? Apakah kita dengar jawapan yang telah diberikan oleh Allah atau sebaliknya kita dengar jawapan yang diberikan oleh musuh-Nya?
Orang yang sesat
Orang yang sesat ialah golongan Nasrani (Kristian). Mereka hakikatnya diperkuda oleh Yahudi untuk menyesatkan umat Islam. Dalang di sebalik tipu-daya Kristian terhadap umat Islam ialah Yahudi. Kedua-dua golongan ini telah dirangkaikan oleh Allah dalam permusuhannya terhadap Islam.
Firman Allah:
“Sekali-kali orang Yahudi dan Nasrani itu tidak akan redha terhadap kamu sehinggalah kamu mengikut cara hidup mereka.” (Surah al-Baqarah 2: 120)
“Millah” dalam ayat itu merujuk jalan (cara) hidup.
Ramai yang beranggapan bahawa Kristian berjaya menyesatkan kita sekiranya mereka berjaya menukar akidah umat Islam… tetapi itu tidak tepat.
Sebenarnya, Kristian telah dikira berjaya dalam misinya apabila mereka berjaya menukar cara hidup umat Islam. Cukuplah dengan meninggalkan cara (jalan) hidup Islam kita telah tergolong dalam golongan mereka.
Rasulullah s.a.w. telah memberi amaran:
“Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka tergolong dalam kaum itu.” (Riwayat Abu Daud)
Malah dalam hadisnya yang panjang Rasulullah s.a.w. mengingatkan: “Kamu akan mengikut mereka sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehinggakan mereka masuk ke lubang biawak pun, kamu akan mengikutnya.” Ketika itu para sahabat bertanya, “Apakah golongan yang diikuti itu ialah Yahudi dan Nasrani?” Rasulullah menjawab, “Siapa lagi?” (Riwayat al-Bukhari)
Setelah sedikit sebanyak menelusuri ketiga-tiga jalan bersumberkan roh al-Fatihah ini, terjawablah persoalan mengapa nasib umat Islam begitu malang kini. Majoritinya masih kabur tentang jalan hidup sebenar dan masih samar tentang siapakah teladan di jalan yang benar itu.
Alhasil, kita telah menempah kecelakaan demi kecelakaan di jalan yang dimurkai dan jalan yang sesat. Ini bukan jalan kita. Kita tersalah menilai siapa lawan, siapa kawan, siapa teladan dan siapa sempadan.
Jalan yang lurus sudah tidak lurus lagi pada pandangan kita. Mengapa? Ini semua gara-gara butanya mata yang ada di dalam dada, yakni mata hati.
Firman Allah: “…kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada.” (Surah al-Haj: 46).
APA ITU JALAN YANG LURUS?
• Ada ulama menjelaskan bahawa maksud jalan yang lurus ialah menyembah Allah. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah Tuhanku dan Tuhanmu maka sembahlah Dia, inilah jalan yang lurus.” (Surah Ali ‘Imran 4:51)
• Pendapat lain menyatakan jalan yang lurus ialah agama Islam berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Dan barang siapa yang berpegang teguh dengan agama Allah maka sesungguhnya dia telah diberi petunjuk kepada jalan yang lurus.” (Surah Ali ‘Imran 4: 101
• Ada ulama yang menyebut jalan yang lurus ialah al-Quran berdasarkan hubungan surah al-Fatihah dengan surah selepasnya. Melalui ayat 6-7 surah al-Fatihah, Allah meminta hamba-Nya memohon jalan yang lurus, maka Allah menjelaskan jalan itu dengan berkata, “Inilah kitab yang tiada keraguan di dalamnya.” (Surah al-Baqarah 2: 1)
• Tafsir Ibnu Katsir dalam menghuraikan “Siratul Mustaqim” turut menyatakan Kitabullah (al-Quran). Firman Allah dalam surah al-Nur ayat 46: “Sesungguhnya Kami menurunkan ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan (halal dan haram). Dan Allah memimpin siapa yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.”
• Oleh sebab al-Quran tidak boleh dipraktikkan tanpa panduan sunah Rasulullah, maka jalan yang lurus dalam konteks ini juga bermaksud mengikut sunah Rasulullah s.a.w.
Semua definisi ini dirangkumkan, boleh dirumuskan bahawa jalan (kaedah) yang lurus ialah menyembah Allah dengan berpegang teguh kepada agama Islam berpandukan al-Quran dan as-Sunah
Secara praktiknya, jalan yang lurus itu ialah pelaksanaan kesemua perintah Allah yang mengandungi lima hukum – wajib (halal), sunat, haram, makruh dan harus dalam seluruh aspek kehidupan dari soal sekecil-kecilnya hinggalah ke sebesar-besarnya.
**Islam is the only way of life~
**Jangan lupa tanggungjawab kita wahai para HAMBA dan KHALIFAH.
**Tanggungjawab kita melebihi masa yg ada..fastabiqul khairat~!
posted by: 'abid sakina
credit: http://genta-rasa.com/